Bermula dengan nama Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (atau secara ringkasnya LKPP Negeri Pahang) ditubuhkan pada
15 November 1969 dibawah Enakmen Darurat Pahang (Bil 2) Tahun 1969. Enakmen penubuhan LKPP Negeri Pahang kemudiannya telah disahkan dan diluluskan
oleh Dewan Undangan Negeri pada 01 April, 1971.
Di awal penubuhannya, LKPP Negeri Pahang telah terlibat di dalam pembukaan ladang di kawasan-kawasan yang diteroka oleh Jabatan Pertanian.
Di sinilah juga bermulanya tanggungjawab sosial LKPP Negeri Pahang dengan pewujudan Rancangan Tanah Pemuda (RTP). Di dalam Rancangan
Lima Tahun LKPP dan Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975), LKPP Negeri Pahang perlu lebih agresif dalam penanaman tanaman komoditi utama.
Dengan berlakunya banjir besar pada 1970/1971 serta gerakan komunis yang masih berleluasa, LKPP Negeri Pahang diberi tanggungjawab untuk
melaksanakan tambahan projek sosial melibatkan rakyat iaitu Rancangan Penempatan Semula Banjir dan Rancangan Penempatan Semula Keselamatan di
samping Projek Tanah Pinggir dan Ladang Kecil.
Mulai 1 Oktober 2016, LKPP secara rasminya telah ditukarkan kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) yang mana diluluskan
penubuhannya oleh Dewan Undangan Negeri Pahang pada penggal ke-4 yang bersidang pada 10 hingga 14 Mei 2016 yang telah meluluskan Enakmen
Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang 2016.